PERTUMBUHAN EKONOMI
Momentum ekonomi Malaysia kekal kukuh pada 4.8 peratus suku ini berbanding 5.3 peratus pada suku lepas. Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan terus menjadi penyumbang utama dari segi pengeluaran. Bagi perbelanjaan, ekonomi digerakkan oleh penggunaan domestik terutamanya Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar.
Pada tahun 2010, pertumbuhan melonjak kepada 7.2 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada 2009.
PERTANIAN
Pada tahun 2010, pertumbuhan melonjak kepada 7.2 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada 2009.
PERTANIAN
Pada suku ini, Sektor Pertanian mengalami penguncupan 4.3 peratus disebabkan oleh kemerosotan dalam subsektor Kelapa Sawit (15.5 peratus) dan Perhutanan (5.0 peratus). Walau bagaimanapun, subsektor Getah terus mengukuh dari 0.5 peratus kepada 6.3 peratus disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi dan peningkatan dalam permintaan luaran. Subsektor Pertanian Lain, Ternakan dan Perikanan turut mencatatkan pertumbuhan yang positif masing-masing pada kadar 3.2 peratus, 5.5 peratus dan 3.9 peratus. Walaupun pertumbuhan positif telah dicatatkan dalam keempat-empat sub-sektor tersebut, ia tidak dapat mengurangi penguncupan dalam sektor ini.
Bagi tahun 2010, sektor pertanian tumbuh sebanyak 1.7 peratus berbanding 0.4 peratus pada tahun sebelumnya.
PERLOMBONGAN DAN KUARI
Sektor Perlombongan dan Kuari terus merosot 1.3 peratus berbanding negatif 1.0 peratus pada suku sebelumnya. Penyusutan ini disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran minyak mentah (3.3 peratus) dan kondensat (3.5 peratus).
Pada tahun 2010, sektor Perlombongan dan Kuari melonjak kepada pertumbuhan marginal 0.2 peratus dari negatif 3.8 peratus pada tahun lepas.
PEMBUATAN
Sektor Pembuatan yang membentuk 27.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus meningkat dengan merekodkan pertumbuhan 6.2 peratus pada suku ini. Subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (9.7 peratus) menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan. Di samping itu, subsektor Peralatan Pengangkutan & Pembuatan Lain, Produk Mineral bukan Logam, Produk Logam Asas & Logam yang Direka dan Produk Tekstil, Pakaian & Kulit turut merekodkan pertumbuhan dua digit.
Pada tahun 2010, sektor Pembuatan melonjak ketara kepada 11.4 peratus dari negatif 9.4 peratus pada tahun sebelumnya.
PEMBINAAN
Sektor Pembinaan meningkat kepada 5.6 peratus berbanding 2.8 peratus pada suku lepas. Pertumbuhan ini disokong oleh segmen Bukan Kediaman (18.9 peratus) dan Kejuruteraan Awam (5.1 peratus).
Bagi tahun 2010, sektor Pembinaan tumbuh 5.2 peratus berbanding 5.8 peratus pada 2009.
PERKHIDMATAN
Sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi, sektor Perkhidmatan terus mengukuh 6.2 peratus pada suku keempat 2010 berbanding 5.4 peratus pada suku lepas. Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Perkhidmatan Perniagaan & Hartanah. Subsektor Perdagangan Borong & Runcit merekodkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.2 peratus diterajui oleh segmen Borong dan Runcit. Subsektor Perkhidmatan Perniagaan & Hartanah terus berkembang sebanyak 8.7 peratus disokong oleh peningkatan dalam aktiviti pasaran modal.
Subsektor Kewangan & Insurans tumbuh pada kadar lebih perlahan kepada 3.4 peratus disebabkan oleh kejatuhan dalam aktiviti insurans. Komitmen kerajaan yang berterusan ke atas infostruktur melonjakkan pertumbuhan dalam subsektor Komunikasi kepada 9.8 peratus. Subsektor Pengangkutan & Penyimpanan meningkat 5.1 peratus didorong oleh aktiviti pengangkutan penumpang.
Pada tahun 2010, sektor Perkhidmatan berkembang kepada 6.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada tahun 2009.
PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR
Perbelanjaan Penggunaan Akhir tumbuh pada kadar lebih cepat 4.7 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku tahun sebelumnya. Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan dengan mencatatkan 6.5 peratus didorong oleh penggunaan terutamanya bagi barang bukan keperluan seperti komunikasi, perkhidmatan rekreasi & kebudayaan dan pengangkutan.
Pertumbuhan bagi Perbelanjaan Penggunaan Akhir meningkat dari 1.2 peratus pada 2009 kepada 5.3 peratus pada 2010.
PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR
Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) meningkat sebanyak 9.2 peratus didorong oleh perbelanjaan bagi Peralatan Pengangkutan dan Struktur. Momentum yang kukuh bagi perbelanjaan pengangkutan dan peralatan yang diimport dan kemudahan bukan kediaman telah menyokong pertumbuhan dalam kategori aset ini.
Pada 2010, PMTK meningkat kepada 9.4 peratus daripada negatif 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.EKSPORT DAN IMPORT
Dalam sektor luaran, Eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus disokong oleh produk yang berasaskan komoditi seperti Bahan Api Galian & Pelincir, Minyak & Lemak Binatang & Sayur-sayuran dan Bahan Kimia. Sementara itu, Import meningkat sebanyak 3.3 peratus diterajui terutamanya oleh barang pengantara dan modal.
Pada tahun 2010, Eksport dan Import menunjukkan pertumbuhan kukuh masing-masing sebanyak 9.8 peratus dan 14.7 peratus.
Sumber:Jabatan Perangkaan Malaysia