Warna-Warni 1Malaysia

Konsep 1Malaysia kini telah menjadi sebagai satu budaya yang popular pada hari ini dan menjadi sebutan dikalangan masyarakat Malaysia. Nampaknya negara kita Malaysia amat sesuai dipadankan dengan konsep 1Malaysia. Ini kerana keunikan masyarakat Malaysia yang harmoni dari berbagai agama,bangsa, keturunan dan budaya yang hidup bersatu. Saya tampil disini adalah untuk berkongsikan beberapa kenyataan yang menyokong kepada “Warna-Warni 1Malaysia”.Jika kita membuka minda, dan melihat negara lain disekeliling kita, mereka masih atau sentiasa mengalami permasalahan dengan isu perkauman walaupun negara mereka tidaklah mempunyai bilangan kaum atau bangsa yang banyak seperti yang terdapat di Malaysia. Keharmonian dan kesejahteraan Malaysia melalui perpaduannya amatlah dicontohi oleh negara-negara asing. Walaubagaimanapun, ada juga diantara mereka yang mencemburui nilai-nilai perpaduan Malaysia lantas membuat kenyataan-kenyataan palsu dan tohmahan-tohmahan yang tidak berasas semata-mata untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. 

Kenyataan diatas adalah berasaskan kepada satu isu yang pernah dibangkitkan iaitu kononnya konsep 1Malaysia ditiru atau dipetik dari konsep 1Israel. Dan ini adalah tidak benar sama sekali. Saya berani dan yakin mengatakan bahawa 1Malaysia adalah idea tulen yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak khusus untuk negara Malaysia.

1Malaysia

Disini saya mempunyai beberapa pandangan yang mungkin menyokong kenyataan diatas dan mungkin boleh dikongsikan dengan para pembaca. Mari kita lihat dengan lebih dekat ke arah nombor SATU (1). Dari sudut Matematik = Ianya merupakan satu angka yang dimulai atau nombor yang tidak boleh dibahagi dengan nombor lain kecuali  nombor itu sendiri tanpa terlebih dalam apa jua pengiraan. Manakala dalam sudut falsafah, SATU (1) dikaitkan dengan maksud = Yang Terbaik atau Terdahulu. Malaysia pula ialah nama negara kita dan bukanlah bangsa. Ini jelas dalam hal Satu (1)Malaysia, ianya membawa maksud bahawa Malaysia yang terdiri dari berbagai bangsa, kaum, agama, keturunan dan budaya, telah dapat mewujudkan prasarana kehidupan yang bersatu dan harmoni melalui etika saling memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain lalu menjadi SATU (1) kumpulan masyarakat yang bersatu sinonim dengan 1Malaysia. 

1Malaysia = Penyatuan berbagai Bangsa, Agama, dan Budaya menjadi Satu (1) kumpulan masyarakat yang menjalani kehidupan yang aman dan harmoni..

1Malaysia  = Hanya Satu (1) negara sahaja didunia yang berjaya menyatukan masyarakat yang terdiri dari sekurang-kurangnya tujuh bangsa dan budaya.

1Malaysia  = Yang Pertama (No.1) didunia sebagai sebuah negara demokrasi yang dapat mengamal dan mengekalkan perpaduan dikalangan masyarakatnya.

Ini juga disokong oleh satu kenyataan yang pernah diceritakan oleh rakan saya, dimana ketika dia berada di Amerika Syarikat sewaktu menuntut, apabila ditanya “Malaysian, please raise up your hands”...lalu semua penuntut Malaysia yang berada didalam dewan kuliah tersebut samada Melayu, Cina, India dan lain-lain mengangkat tangan. Inilah yang membuktikan bahawa Malaysia ialah penyatuan semua kaum dan ini telah menjadi tarikan dan kejutan kepada Negara-negara luar yang mana masih belum mampu untuk menyatukan rakyat mereka sendiri. Inilah yang menjadi simbol warna-warni 1Malaysia. Ini juga amat nyata sekali bahawa Malaysia adalah negara terdahulu atau nombor satu didunia sebagai sebuah negara yang berjaya menyatukan masyarakatnya dari pelbagai latarbelakang. Inilah kenyataan yang amat jelas dan benar mengenai konsep 1Malaysia yang amat sesuai digunakan di Malaysia berbanding negara-negara lain misalnya Israel. Oleh yang demikian, kenyataan Dato’ Sri Mohd Najib mengenai konsep 1Malaysia amatlah berasas dan tepat untuk dijadikan simbol negara Malaysia dimata dunia. Malahan konsep 1Malaysia turut disokong oleh satu slogan iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Disamping tu juga, 1Malaysia haruslah dikekalkan dan sentiasa menjadi pegangan dan Rukun Negara menjadi teras panduan dan prinsip rakyat Malaysia demi memelihara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, berjaya dan harmoni. Dan ini amtlah berkait rapat dalam kaedah yang amat baik dalam pembangunan Malaysia dan sekaligus akan melahirkan prospek-prospek yang baik lagi unggul.

Masyarakat muhibbah di Malaysia jelas kelihatan dimerata tempat, memperlihatkan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain berkumpul, bekerja, bergelak ketawa, berbual, berbincang, bermain dan sebagainya sebagai satu keluarga yang tidak dapat dipisahkan lagi. Ini terbentuk dari generasi nenek moyang kita sehinggalah ke generasi sekarang. Walaupun terdapatnya unsur-unsur pengaruh negatif yang tidak senang melihat keharmonian ini, nescaya ia dapat dilawan dan ditolak masyarakat dengan adanya konsep 1Malaysia.

Selaras dengan itu juga, generasi muda sentiasa diberi pendedahan ke arah pembentukan nilai-nilai perpaduan. Sebagai contoh, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah banyak membantu membimbing mereka agar membentuk modal insan yang baik dalam mewujudkan kumpulan masyarakat yang muhibbah. Penerapan nilai-nilai patriotik juga amat penting agar masyarakat sentiasa mempunyai sifat sayangkan Negara dan sekaligus mampu memelihara dan memulihara Malaysia agar sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Dengan adanya penerapan nialai-nilai patriotik ini juga, masyarakat akan sentiasa terselamat dari anasir-anasir jahat yang mungkin merosakkan keharmonian Negara. Dengan adanya masyarakat yang harmoni, Malaysia akan sentiasa menjadi sebuah Negara yang maju lagi produktif. Dengan ini, banyak program-program yang dianjurkan kerajaan akan mudah dan dapat disertai untuk menjadikan pembangunan Negara bertambah rancak dan terjamin. Ini termasuklah Model Baru Ekonomi atau New Economic Model (NEM) yang banyak memberi faedah kepada seluruh rakyat Malaysia khusunya dalam aspek ekonomi.

Sejarah juga sering membuktikan bahawa kejayaan Malaysia adalah dari kerjasama semua golongan dan lapisan masyarakat yang terdiri dari berbagai agama, bangsa, keturunan dan budaya. Sejarah ini mestilah sentiasa diterapkan kepada generasi-generasi baru agar dijadikan pedoman dan peringatan bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaannya sehingga segala kenikmatan dapat dirasai semua sehingga ke hari ini. Begitulah konsep 1Malaysia yang berwarna-warni seperti pelangi yang sentiasa menyinari Malaysia, lalu memperingatkan kita bahawa perpaduan adalah teras kejayaan dan ia tidak dapat di kembalikan sekiranya keharmonian ini menemui kemusnahan dimasa akan datang. Marilah kita bersama-sama memupuk semangat perpaduan dan hidup dalam keadaan yang aman, harmoni dan sejahtera yang pasti akan melahirkan prospek-prospek yang baik, berkualiti, terjamin dan unggul agar Malaysia menjadi sebuah Negara yang dikagumi dan dihormati diseluruh dunia.

Ditulis oleh: Unit Pengarang TMP

No comments:

Post a Comment